Tembok di antara agama dan sains
Agama yang benar dan pengetahuan sains yang sah tidak sesekali akan bercanggah tentang kebenaran yang hak, misalnya tentang hakikat ciptaan raya dan diri insan.
Namun, dari masa ke masa, kita mendengar berita perbalahan yang tercetus di antara golongan agama dan golongan sains.
Setidaknya pun, kita sering dimomokkan tentang persaingan di antara pandangan agama dan pandangan sains tentang kejadian semulajadi.
Contoh mudah adalah persoalan samada hukum sains menyokong atau menafikan mukjizat-mukjizat yang dilaporkan dalam sumber-sumber keagamaan daripada berlaku.
Baru-baru ini, Tuan Zamir Mohyedin, seorang fizikawan dari Univesiti Teknologi MARA telah menegur Ustaz Auni Mohamed berkenaan beberapa dakwaan berunsurkan sains dalam ceramahnya bertajuk “Teori ‘Black Hole’” yang telah disampaikan pada tahun 2019.
Reaksi yang menyusul daripada teguran Tuan Zamir Mohyedin wajar dicermati kerana ia mengandungi beberapa pengajaran penting tentang kewibawaan ilmu dan ilmuwan — khususnya ilmu sains dan saintis dan ilmu agama dan agamawan — yang menempias kepada persoalan kedudukan agama dan sains dalam masyarakat kita.
Terdapat lima pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa ini:
PERTAMA, fakta yang salah dalam ceramah “Teori ‘Black Hole’”. Sekiranya ada pihak mendakwa sesungguhnya Matahari itu sejuk meskipun sebetulnya Matahari itu panas, maka pihak itu mesti ditegur dan kemudian mesti mengakui kesalahannya. Jika pihak yang ditegur masih berdegil, janganlah pula dijulang pihak tersebut sebagai jaguh agama yang melawan “pendustaan sains”.
KEDUA, pengiktirafan mereka yang berwibawa dalam bidang. Sesiapa saja boleh memberikan pandangan tentang apa jua bidang tetapi sekiranya beliau mahu diambil serius, maka beliau wajib menjadi orang yang berwibawa dalam bidang tersebut. Orang awam tidak berhak didedahkan kepada sumber maklumat yang tidak berwibawa. Justeru, jikalau seorang penceramah agama bercakap tentang sains, orang awam sepatutnya menyiasat apakah kelayakannya dan adakah kelayakannya itu cocok dengan apa yang diceramahkan. Jika tidak cocok — atau jika cakap tidak serupa bikin — maka jangan didengar.
KETIGA, pembudayaan sains kepada orang awam. Jika kita mengenepikan kesalahan dan kekacauan fakta dalam video tersebut, kita tidak boleh menafikan bahawa penceramah tersebut telah menyampaikan sejarah perkembangan bidang kosmologi dalam satu bentuk penceritaan yang menarik; yang mengadunkan aspek teknikal dan aspek manusiawi bidang sains; yang menyelitkan drama kehidupan tokoh-tokoh selain selok-belok konsep abstrak dan angka. Mungkinkah bentuk penceritaan sains sebegini mampu mencambah minat orang awam terhadap sains yang menjadi permulaan kepada pendidikan sains secara rasmi? Sejauhmanakah ahli sains tempatan dilatih untuk “bercerita” tentang bidang kepakaran masing-masing kepada hadirin beraneka jenis?
KEEMPAT, peranan sejarah dalam pendidikan sains. Jikalau sains boleh dijadikan lebih mesra dengan kesedaran masyarakat dengan memasukkan kisah-kisah sejarah dan tokohnya, maka bolehkah kurikulum dan pedagogi sains di sekolah, kolej dan universiti ditambahbaik dengan memperkenalkan unsur-unsur sejarah dan kemasyarakatan? Bukan saja dari segi mengajar sains dalam bahasa ibunda, bukan saja dari segi mengajar kisah hidup saintis, tetapi dengan menampilkan perumpamaan tempatan, dengan mengupas unsur-unsur saintifik dalam bahasa dan budaya tempatan, dengan menggali kedatangan sains moden ke rantau ini, dengan meraikan pencapaian saintis tempatan. Unsur-unsur sejarah dan kemasyarakatan diperkenalkan bukan saja sebagai “gula-gula” pembelajaran sains, tetapi sebagai tujahan utama pembelajaran sains.
KELIMA, pendidikan agama oleh saintis dan pendidikan sains oleh agamawan. Mereka yang berlatarbelakang sains akan bergeleng kepala dan bertanya, “Bagaimana seorang agamawan boleh memeluk kefahaman yang salah tentang alam semesta?” Mereka yang berlatarbelakang agama pula akan bergeleng kepala dan bertanya, “Bagaimana saintis boleh begitu yakin dengan teori-teori mereka tentang alam semesta?” Justeru, golongan sains akan menganggap golongan agama kolot (tetapi tidak semestinya anti-agama), manakala golongan agama akan menganggap golongan sains taksub (tetapi tidak semestinya anti-sains). Antara punca permasalahan yang boleh dikenalpasti adalah skop agama telah diperkecilkan hanya kepada aspek upacara luaran, manakala skop sains pula diperluaskan sehingga menjadi penilai tunggal maju mundur kehidupan manusia. Namun, pengembalian semula agama dan sains kepada tempat-tempatnya yang wajar mesti dilakukan secara berhikmah agar tidak menimbulkan kecelaruan baru yang akan meretakkan lagi kesatuan agama dan sains tentang hakikat ciptaan raya, termasuklah insan.
Ketegangan di antara agama dan sains telah lama disedari oleh para pemikir tempatan seperti Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain, Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar, Prof. Emeritus Dr. Baharuddin Yatim, Prof. Dr. Khalijah Salleh, Prof. Emeritus Dr. Mohd Yusof Othman dan langkah-langkah penyelesaian asli telah diusulkan dan dilaksanakan di beberapa buah institusi pengajian tinggi tempatan.
Misalnya, apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mula-mula ditubuhkan, iaitu ketika ia mempunyai tiga fakulti utama iaitu sains, sastera dan Islam, mahasiswa setiap fakulti diwajibkan mengikuti mata pelajaran daripada dua fakulti lain, sesuai dengan dasar pendidikan liberal universiti tersebut. Jadi mahasiswa fakulti Islam perlu wajib mengambil kursus sejarah sains pada tahun pertama dan kursus pemikiran sains pada tahun kedua pengajian mereka, sekaligus memberi peluang kepada mahasiswa itu menyedari dan menghargai alam sains dan teknologi (rujuk gambar di bawah). Malangnya, dasar ini tidak lagi diteruskan oleh UKM.
Terdapat dua tragedi daripada peristiwa ini:
PERTAMA, perkembangan sains diceritakan dengan lebih menarik oleh seorang agamawan — meskipun compang-camping dari segi ketepatan faktanya — berbanding yang diajarkan dalam ribuan bilik darjah, makmal dan dewan kuliah oleh ribuan guru dan pensyarah di serata pelusuk negara yang rata-rata menitikberatkan hafalan fakta dan formula dan disukat menerusi markah dan gred semata-mata.
KEDUA, golongan sains tempatan tidak diberikan insentif dan tidak dilatih dengan serius untuk memesrakan masyarakat dengan bidang kepakaran masing-masing. Penumpuan melulu output pensyarah dan penyelidik sains dalam bentuk penerbitan makalah teknikal dalam bahasa Inggeris semata-mata memencilkan lagi golongan sains tempatan daripada masyarakat sekitar mereka.
Jurang yang melebar di antara masyarakat dan golongan sains kemudiannya diisi oleh dongeng-dongeng tentang sains (“Sains susah”, “Sains sama dengan teknologi”) dan ahli sains (“Hanya orang pandai boleh menguasai sains”, “Ahli sains menolak agama”).
Penularan dongeng-dongeng ini umpama tembok tinggi yang memisahkan sains dan ahli sains daripada masyarakat yang rata-rata bergantung kepada hasil kemajuan sains demi kesejahteraan hidup mereka.
Memetik kata-kata Carl Sagan, seorang ahli astronomi mahsyur Amerika Syarikat, “Kita kini hidup dalam sebuah masyarakat yang amat bergantung kepada sains dan teknologi, namun pada masa yang sama, alpa tentang sains dan teknologi.”
Masyarakat mendahagakan satu gambaran semesta yang menyeluruh dan meyakinkan tentang ciptaan raya di sekeliling mereka. Di atas bahu-bahu golongan sains yang celik dan golongan agama yang insaflah disandarkan harapan kelahiran gambaran semesta ini.